abgbest69@yahoo.com

Tuesday, May 10, 2011

Joe Karbo - Si Pemalas Yang Kaya Raya

Saya sering menulis betapa pentingnya kita sentiasa berfikiran positif. Jangan sesekali berbicara tentang unsur-unsur negatif. Tetapi kali lain sikit ceritanya. Saya nak ceritakan bagaimana kisah seorang insan yang bukan sekadar MALAS malah mempunyai hutang berguni-guni sehinggakan bank sudah tidak sabar untuk merampas rumah beliau dan menghalaunya keluar.

Ironinya dalam masa hanya beberapa tahun, beliau berjaya menyelesaikan segala hutang piutang beliau dan mampu membeli rumah bernilai setengah juta dollar secara CASH!

Itulah Joe Karbo – merupakan seorang pemalas tetapi mempunyai simpanan jutaan dollar di bank!

Joe Karbo adalah contoh seorang manusia biasa yang bergelut untuk keluar dari lembah kesusahan, kemiskinan, dan kegagalan seterusnya membawa beliau menemui jalan kekayaan yang luar biasa.

Beliau adalah seorang insan yang berjaya bangun dengan atas usaha sendiri tanpa bantuan sebarang kroni atau kabel. Beliau juga mengakui bahawa beliau adalah seorang lelaki yang malas tetapi pada masa yang sama tetap berjaya menjadi seorang yang kaya.

Dia mendedahkan segala rahsia-rahsianya dalam buku 'The Lazy Man's Way To Riches', satu buku klasik mengenai falsafah Joe tentang kehidupan dan bagaimana untuk hidup dalam kekayaan. Saya akan menulis mengenai sinopsis buku ini di dalam posting akan datang. Posting kali ini khusus untuk mengenali siapakah si 'Pemalas Yang Kaya Raya' ini.

Joe Karbo dilahirkan di Los Angeles, anak kepada pasangan berbangsa Poland yang memiliki sebuah kedai jahit. Beliau pernah berkhidmat dalam U.S Navy di Pasifik Selatan sepanjang Perang Dunia Kedua sebagai petugas di unit farmasi.

Selepas perang tamat, Joe menubuhkan sebuah syarikat pemborong kertas kadbod terpakai. Kemudiannya terlibat sedikit sebanyak di dalam industri pengiklanan radio dan juga rancangan televisyen.

Dipendekkan cerita, selepas 12 tahun Joe menjalankan perniagaan agensi pengiklanan untuk stesen TV, langit yang cerah tiba-tiba bertukar menjadi ribut taufan apabila Joe ingin menerbitkan rancangan TV mereka sendiri. Di situlah Joe mengalami kerugian dan berhutang sebanyak USD$50,000.

Joe berhadapan dengan risiko bakal diisytiharkan bankrap ketika berusia 40 tahun tetapi beliau berhasrat untuk membayar semula semua hutang piutangnya. Dari situ beliau pergi menemui beberapa pakar dalam pelbagai bidang untuk mengetahui bagaimana untuk mengelakkan diri dari jatuh bankrap. Joe belajar bagaimana untuk berunding dengan pemiutang-pemiutangnya.

Semasa dalam proses berunding untuk membayar hutang, beliau menulis sebuah buku berjudul, 'The Power of Money Management' yang mana beliau jual secara 'direct response' atau Gaya Pos di iklan-iklan dalam akhbar tempatan di kawasan Southern California. Dalam sekelip mata buku ini menjadi hangat dan berjaya menyelamatkan Joe dari bankrap. Yang lebih menakjubkan beliau menjadi jutawan 10 tahun selepas itu.

Inilah antara rahsia Joe Karbo – seorang pemalas yang boleh menjadi kaya. Joe menjual produk secara terus atau direct response. Ini bermakna beliau menjual bukunya melalui iklan dengan menempah satu ruang iklan di akhbar dan menunggu pesanan tiba dalam peti surat di depan rumah. Pelanggan yang membuat pesanan akan menerima buku melalui pos. Kemudian Joe akan menghubungi mereka semula jika ada produk yang lain pula.

Joe tahu bagaimana menggunakan masa yang singkat untuk mendapatkan wang yang banyak. Beliau tahu bagaimana untuk mencari satu punca pendapatan tunai yang bekerja untuk beliau tanpa henti.

Samada beliau bekerja atau tidak, wang tetap akan masuk kedalam akaun banknya. Dengan pendapatan secara pasif, Joe hanya bekerja kuat sekali dan ianya memberikan beliau sumber pendapatan selama beberapa bulan atau bertahun. Beliau mendapat bayaran berkali-kali untuk kerja yang dibuat sekali. Itulah yang dimaksudkan dengan 'MALAS'

Joe terus menggunakan teknik yang sama selama bertahun-tahun dalam setiap akhbar dan majalah utama di Amerika Syarikat dan juga di akhbar-akhbar asing yang besar. Iklan-iklan itu sahaja cukup untuk menjadikan Joe terkenal dengan sendirinya.

Joe sememangnya tidak berminat untuk menempatkan bukunya di kedai-kedai buku. Beliau lebih suka menjualnya secara langsung kepada pembaca. Pelbagai penerbit gergasi menawarkan untuk menerbitkan bukunya. Namun beliau menolaknya kerana beranggapan jika beliau menjual menerusi kaedah konvensional di kedai-kedai, berkemungkinan buku itu hanya mampu terjual beberapa ratus ribu naskah sahaja. Sedangkan pada pandangan beliau peminat buku itu berada dalam lingkungan jutaan orang.

Sememangnya dakwaan Joe adalah betul. Ketika beliau meninggal dunia pada tahun 1980, sebanyak dua juta tujuh ratus ribu naskah (2,786,500 secara tepat) terjual hanya menerusi iklan-iklan direct response.

Dalam 1980, pada usia Joe 55 tahun, beliau meninggal dunia akibat serangan jantung. Bagaimana pun hasil kerjanya terus hidup sehingga hari ini (buku tersebut masih tidak dijual di kedai-kedai tetapi boleh didapati secara online). Sehingga kini beliau tetap dianggap sebagai pelopor bisnes Gaya Pos.

No comments:

Post a Comment